Individu yang gemar mempersenda serta menghina golongan agama dan ulama, kemungkinan mempunyai masalah mental sukar dikawal, demikian kata Naib Presiden PAS, Dato’ Ustaz Idris Ahmad.

7 Julai 2024 - 14:57
Idris Ahmad: Senda golongan agama dan ulama mungkin mempunyai masalah mental

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA): Individu yang gemar mempersenda serta menghina golongan agama dan ulama, kemungkinan mempunyai masalah mental sukar dikawal, demikian kata Naib Presiden PAS, Dato’ Ustaz Idris Ahmad.

Tegas beliau, kebiasaannya orang Melayu-Islam mempunyai sifat menghormati golongan agama terutama di kampung-kampung, malah amat sensitif terhadap Islam serta memandang mulia kepada para ulama.

“Perompak, penyamun ka kalau di kampung dia ada orang alim, dia tak buat kerja jahat di situ. Dia pi (pergi) buat di kampung lain. Berbeza jenis yang tak reti (tahu) hormat tok-tok guru, alim ulama ini memang jenis ada masalah mental dan masuk ayaq (air),” katanya.

Mengulas lanjut, Idris tidak menafikan golongan agama bukanlah maksum, tetapi kesalahan yang dilakukan mereka tidak termasuk dosa-dosa besar seperti minum arak, berzina, berjudi atau lain-lain.

“Mungkin terdapat kesilapan dalam ucapan mereka. Itu perkara biasa. Tetapi yang kamu yang maki ulama tu, sudah berapa kitab yang kamu dah ajar dan masjid mana yang kamu dah masuk bagi tazkirah?

“Ke mana dah kamu beri pergi memberi penerangan kesedaran agama kepada orang keliling kamu, keluarga dan anak isteri?” soalnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai.

Beliau berkata demikian, berikutan terdapat beberapa individu yang dipercayai penyokong Pakatan Harapan (PH) menghina golongan ulama ketika menyampaikan ceramah.

Video ceramah yang tular di media sosial sepanjang kempen PRK N.20 DUN Sungai Bakap antaranya menyebut, “tidak perlu ikut ulama sebab mereka tidak pasti akan masuk syurga” dan “tidak takut dan tetap lawan ulama terutama dari PAS”.

Justeru kata Idris, ucapan sedemikian bukan sahaja mencerminkan akhlak individu terbabit, sebaliknya memberi kesan balas kepada kumpulan dan diri mereka sendiri.

“Pada saya apa yang mereka buat itu ‘back fire’ kepada diri sendiri. Biar maki banyak-banyak, kerana orang yang macam ni tidak boleh diterima masyarakat termasuk anak-anak muda.

“Saya pernah berjumpa, anak-anak muda bersubang sebelah tapi hormat dengan ulama, bersalam dan cium tangan tok guru. Mungkin sembahyangnya tak cukup tapi dia hormat orang agama.

“Orang yang tak segan silu menghina ulama ini, kalaupun sembahyangnya cukup lima waktu tapi belum lagi dapat mendidik serta membentuk akhlaknya,” tegas beliau.